KEMUDAHAN CUTI SAKIT
Peraturan mengenai kemudahan Cuti Sakit diperuntukkan
di bawah Perintah Am 15 Bab ‘C’ yang menjelaskan bahawa Ketua Jabatan
boleh meluluskan Cuti Sakit kepada seseorang pegawai yang telah
disahkan sebagai tidak sihat untuk menjalankan tugas-tugasnya oleh
seorang Pegawai Perubatan atau oleh sebuah Lembaga Perubatan atau oleh
seorang ahli Panel Doktor. Pengesahan tidak sihat ini hendaklah dibuat
di atas sijil sakit.
Di bawah peruntukan Perintah Am yang sama juga, Ketua
Jabatan diberi kuasa untuk menerima mengikut budi bicaranya sendiri
sebarang sijil sakit yang dikeluarkan oleh doktor swasta tanpa sokongan
daripada Pegawai Perubatan Kerajaan terhad kepada tidak melebihi 15
hari dalam sesuatu tahun.
Penentuan seseorang pegawai itu tidak sihat untuk
menjalankan tugasnya adalah di bawah bidang kuasa Pegawai Perubatan
atau doktor swasta mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia atau Majlis Perubatan Malaysia. Oleh yang demikian,
Ketua Jabatan boleh meluluskan kemudahan Cuti Sakit kepada seseorang
pegawai yang dapat membuktikan bahawa dirinya tidak sihat untuk
bertugas dengan mengemukakan sijil sakit dari Pegawai Perubatan atau
doktor swasta.
Walau bagaimanapun, Ketua Jabatan mempunyai kuasa untuk
tidak meluluskan kemudahan Cuti Sakit kepada seseorang pegawai jika
Ketua Jabatan mendapati sijil sakit yang dikemukakan itu diperolehi
dengan cara yang tidak sepatutnya. Contohnya, pegawai membeli sijil
sakit atau mengubah tarikh yang telah dinyatakan di dalam sijil sakit
yang dikeluarkan oleh Pegawai Perubatan atau doktor swasta.
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
19 Oktober 2009